Wednesday 1 June 2011

sains mengikut pemikiran sarjana islam....

pandangan
Penulis: Prof. Dato’ Mohd Yusof Haji Othman.

(Sedutan dari Buku Sains, Masyarakat dan Ugama – m.s. 105-110)

Ternyata wujud perbezaan yang amat besar tentang kaedah, prinsip dan falsafah dalam menerangkan fenomena alam daripada persepektif sarjana Barat dengan sarjana Islam.

Umumnya kita dapat katakan, bagi sarjana sains Islam premis sains yang digunakan oleh sarjana sains Barat dalam mengembangkan pengetahuan sains tabii boleh diterima. Mereka menerima bahawa alam ini ada tabii atau peraturan umum yang perlu diikut. Manusia mempunyai kemampuan untuk memahami tabii dan peraturan yang dipatuhi oleh makhluk ini (segala fenomena alam yang terjadi). Mereka juga menerima bahawa manusia adalah satu-satunya makhluk yang mempunyai kemampuan untuk menyoal dan memberi alasan secara sebab musabab kenapa ala mini mempunyai tabii berkenaan, dan mereka (sarjana sains Islam) juga menerima yang akhirnya nanti setelah menyoal tentang keteraturan alam ini kita semua akan membuat kesimpulan yang sama walaupun yang mencerap alam tabii berkenaan mempunyai budaya, bahasa, fahaman agama dan daripada lokasi yang berbeza.

Asas perbezaan mereka yang utama dengan sarjana Barat adalah mereka (sarjana sains Islam ) percaya bahawa tabii alam tidak berlaku secara mutlak. Walaupun mereka percaya bahawa api yang panas boleh membakar, tetapi sifat api yang membakar tidak mutlak, sifat pisau yang tajam boleh memotong juga tidak mutlak, sifat air dicincang tidak putus juga tidak mutlak, suatu objek akan jatuh apabila dilepaskan juga tidak mutlak, tumbuh-tumbuhan memerlukan air dan cahaya matahari untuk membesar juga tidak mutlak. Malah semua tabii alam yang dilihat semuanya tidak mutlak.

Sarjana sains Islam percaya bahawa memang tabii api membakar, tetapi kebolehan api untuk membakar terletak kepada keizinan Allah SWT yang membenarkan api  tersebut  boleh membakar. Sebab itu, dalam kes Nabi Ibrahim a.s. walaupun sifat dan tabii api adalah membakar, kerana Allah SWT tidak mengizinkan api membakar Nabi Ibrahim a.s., maka Nabi Ibrahim a.s. tidak terbakar walaupun Raja Namrud telah memastikan yang api tersebut membara dengan kuatnya. Begitu juga dengan cerita Nabi Ibrahim a.s. yang menyembleih anak baginda, Nabi Ismail a.s., ketajaman pedangnya (secara mutlak) belum tentu boleh memotong sekiranya tidak diizinkan Allah SWT.

Hal yang sama berlaku dalam cerita Nabi Musa a.s. yang menyeberangi Laut Merah hanya dengan mencampak tongkatnya, menyebabkan air membelah, ketika baginda dengan Bani Israel dikejar oleh Firaun ketika tiu. Mungkin pelbagai lagi cerita yang tidak bersifat saintifik dan aneh kerana tidak dapat difikirkan oleh akal manusia, berlaku dan diceritakan secara sahih dan benar oleh al-Quran. Sebab bagi sarjana sains Islam, al-Quran tidak perlu menceritai segala fenomena yang ada di dunia ini mengikut kehendak fikiran manusia. Namun, manusia diminta untuk memikirkan fenomena alam ini agar mereka boleh menjadi pengurus, pentadbir dan khalifah di bumi ini dengan baik.

Dengan kata lain, bagi sarjana Islam, tabii alam yang dikaji oleh manusia tidak bersifat mutlak, tatapi terbatas.

Persoalannya, kenapa kita diberikan Allah SWT dengan kemampuan untuk memahami tabii alam secara mantik, sistematik dan objektif yang boleh menjana sains dan teknologi? Allah SWT memberikan kepada kita kemampuan ini kerana kita telah dilantik oleh Allah sebagai khalifahnya di bumi ini sebagaimana firman-Nya:
Dan ingatlah ketika Tuhanmu berfirman kepada Malaikat “ Sesungguhnya Aku hendak menjadikan seorang khalifah di muka bumi”. Mereka (Malaikat) berkata “ Mengapa Engkau (Ya Tuahn kami) hendak menjadikan (khalifah) di bumi itu orang yang akan membuat kerosakan padanya dan menumpahkan darah (berbunuh-bunuhan), pada hal kami sentiasa bertasbih dengan memuji Engkau dan mensucikan Engkau?”. Tuhan berfirman “Sesungguhnya Aku mengetahui akan apa yang tidak kamu mengetahuinya.”

(Surah al_Baqarah 2: 30)

Oleh kerana kita telah dilantik oleh Allah SWT menjadi khalifah-Nya di muka bumi ini, maka kita diberikan dan dibekalkan Allah SWT segala peralatan yang membolehkan kita memahami tabii alam yang diamanahkan kepada kita untuk mengurus dan mentadbirnya. Dengan memahami tabii alam, kita bukan sahaja menguruskannya, tetapi kita boleh mengambil manfaat daripada alam ini dengan penuh tanggungjawab kepada-Nya. Kebolehan ini termasuklah kebolehan menguasai ilmu sains dan teknologi. Kebolehan yang diberikan kepada manusia ini dinyatakan dalam ayat seterusnya:

Dan Dia (Allah SWT) mengajarkan kepada Adam nama-nama (benda-benda) seluruhnya, kemudian mengemukakan-Nya kepada para Malaikat lalu berfirman “Sebutkanlah kepada-Ku nama benda-benda itu, jika kamu memang golongan yang benar.”

(Surah al-Baqarah 2: 31)

Perkataan asma aullaha yang dinyatakan dalam terjemahan ayat diatas sebagai “nama bend-benda” sebenarnya bukan sekadar nama, tetapi juga sifat yang ada pada benda berkenaan. Apalah ertinya kita kenal nama tetapi tidak kenal sifat dan ciri yang ada pada benda-benda berkenaan. Misalnya apabila kita kenal nama benda yang disebut sebagai durian, maka kita juga kenal durian melalui sifatnya seperti buah yang berduri, mempunyai bau yang kuat, berwarna hijau, dan sedap dimakan. Inilah ciri, sifat dan tabii benda yang disebut sebagai durian.

Apabila kita memahami pula tentang pokok durian bagaimana ia membesar, berbuah dengan iklim tertentu, ciri dan sifat benih yang menghasilkan pokoknya, kita mungkin boleh menjadi petani yang boleh mengambil manfaat daripada buah durian berkenaan. Mungkin pula kita akan menjadi peniaga durian yang berjaya apabila kita memahami ciri, sifat dan selok-belok yang berhubung dengan perniagaan dan sifat pembeli dan pemakannya. Semuanya ini akan menjadikan kita sebagai khalifah yang dapat memakmurkan alam ini, dengan syarat kita perlu memiliki semua sifat-sifat terpuji keinsanan dan melakukan segala aktiviti kehidupan dengan penuh tanggungjawab kepada Allah SWT.

Sebaliknya sekiranya kita lakukan ini semua (memahami sifat, ciri dan tabii alam) tetapi tidak memiliki sifat-sifat terpuji keinsanan, dan tidak pula bertanggungjawab kepada Allah SWT dengan sungguh-sungguh, natijahnya kita akan melakukan kerosakan, mengeksploitasi sepenuhnya alam ini, memusnahkan keseimbangan alam sekitar, menyebabkan berlaku bencana alam dan menumpahi darah dan saling membunuh sebagaimana yang dikhuatiri oleh Malaikat sebagaiman yand dinyatkan dalam ayat 30 Surah al-Baqarah diatas.

No comments:

Post a Comment